Pages

Wednesday, April 26, 2017

TUJUH JENIS PERSAHABATAN

Hanya Satu Sampai Akhirat
Hasil carian imej untuk ADA TUJUH JENIS PERSAHABATAN TETAPI HANYA SATU SAMPAI KE AKHIRAT
1. TA’ARUFFAN
Persahabatan yang terjalin secara kebetulan, seperti pernah bertemu di Lapangan Terbang, hotel, hospital, pejabat pos, ATM, dan lainnya.

2. TAARIIHAN
Persahabatan yang terjalin kerana faktor sejarah, misalnya teman sekampung, satu kelas, satu sekolah, satu asrama, dan sebagainya.

3. AHAMMIYYATAN
Persahabatan yang terjalin kerana faktor kepentingan tertentu seperti rakan bisnes, politik dan sebagainya.

4. FAARIHAN
Persahabatan yang terjalin kerana faktor hobi, seperti teman futsal, golf, badminton, memancing, melancong dan sebagainya.

5. AMALAN
Persahabatan yang terjalin kerana kerjaya, misalnya sama-sama guru, doktor, arkitek, tentera dan sebagainya.

6. ADUWWAN
Sahabat tetapi musuh, depan kita bukan main dia baik lagi tapi bila belakang kita … Allah! Pijak semut pun tak mati! Talam dua muka. Seperti firman Allah SWT : “Kalau kamu mendapat kebaikan atau kesenangan, ia menyakitkan hati, bila kamu ditimpa musibah, mereka senang hati …” (Surah Ali Imran : 120)
Rasulullah SAW mengajarkan doa : “Allahumma Ya Allah … selamatkanlah aku dari sahabat yang bila melihat kebaikanku dia bersembunyi tetapi bila dia melihat keburukanku dia sebarkan.”

7. HUBBAN LIMAANAN
Sebuah ikatan persahabatan yang lahir batin, tulus saling cinta dan sayang kerana ALLAH Azza wa jalla, saling menolong, menasihati, menutupi aib sahabatnya, memberi hadiah, bahkan diam-diam di penghujung malam, dia mendoakan sahabatnya. Boleh jadi ia tidak bertemu, tetapi dia cinta sahabatnya; kerana Allah Ta’ala SWT jua.
Dari 7 jenis di atas, 1 hingga 6 akan LENYAP. Yang tinggal hanya persahabatan yang ke-7. Persahabatan yang terjalin kerana Allah SWT sebagaimana dalam firman Nya: “Pada hari itu (Kiamat) sahabat-sahabat karib akan menjadi musuh bagi yang lain, kecuali persahabatan kerana ketaqwaan.” ( Surah Az-Zukhruf :67 )

Mudah  mudahan bermanfaat. Amin …
Hasil carian imej untuk ADA TUJUH JENIS PERSAHABATAN TETAPI HANYA SATU SAMPAI KE AKHIRAT

Saturday, April 22, 2017

Umurku...

Hasil carian imej untuk Happy Birthday To Me
Assalamualaikum...
mungkin sekadar meluah rasa...tp x penah merungut pd sesiapa... hanya disimpan dlm memori...
Umurku...tarikh 22 April tahun masehi (bersamaan 29 Ramadhan tahun Islam) hanya pada angka yg semakin meningkat, peluang makin kurang...
Sewajarnya selalu berdoa, Ya ALLAH panjang sedikit lagi umurku, untuk aku mendoakan anak-anakku yang masih belum lepas dan masih belajar.  Mereka masih mengharapkan doa ku sebagai ibu, agar mereka tenang dan mudah belajar.  Dugaan setiap ibu berbeza, namun setiap memori memberi makna. Tiada ibu yg sempurna, kerana ibu juga manusia biasa.  Semoga niat mereka menuntut ilmu adalah kerana mencari keredhaan ALLAH.  Maka doa ibu adalah penguat usaha mereka.  Doa ibu tidak ada hijabnya.
Saya berharap belum terlewat untuk saya meraih rahmat ALLAH bagi mendapat anugerah masuk syurga tanpa hisab.  Biarlah saya menyulam impian dengan usaha meraih rahmat ALLAH dengan melakukan amal kebajikan dengan ikhlas kerana mencari keredhaan ALLAH.
Mana ada masuk syurga dengan semata-mata banyak beramal. Syurga yang penuh nikmat itu terlalu mahal.  Semoga kita semua mendapat limpahan rahmat ALLAH Ta'ala.
Terima kasih emak bapak yang telah mendidik menjadi anak solehah, semoga dosa-dosa emak bapak diampunkan ALLAH dan beroleh kebahagiaan di Jannatul Barzakh.
Dengan rahmatNya kita jejak ke syurga.
YA ALLAH JADIKANLAH KAMI HAMBA-MU YANG MENSYUKURI KEHIDUPAN INI AAMIIN YA RABBAL A'LAMIIN

Hasil carian imej untuk Happy Birthday To Me

Sunday, April 9, 2017

Happy Birthday Lovely Husband

Hasil carian imej untuk Happy Birthday My Husband
Umur dan kesihatan adalah paling berharga anugerah dari ALLAH swt...
Tidak ada sesiapa pun yg boleh memberikan kita DUA kesempatan yg terhebat itu...UMUR yg panjang dan KESIHATAN yg berkekalan...
Kedua-dua itulah aset berharga yg kita ada untuk menambah amalan² hidup kita sebagai bekalan untuk di bawa ke "SANA" nanti...
Setiap 7 April 
Happy, Happy Birthday utk suami
Hasil carian imej untuk Happy Birthday My Husband

Amalan Doa di Bulan Rejab

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pejam celik pejam celik kini kita sudah berada di bulan Rejab.  Apabila masuk sahaja ke bulan Rejab ini bermakna hanya tinggal 2 bulan lagi sebelum kita bertemu kembali di bulan yang mulia dan penuh barakah iaitu bulan Ramadhan.

Sesungguhnya setiap dari kita pasti tidak mahu terlepas  peluang dari bertemu dengan bulan Ramadhan ini.  Semoga ALLAH SWT memanjangkan usia dan mengurniakan kesihatan yang berkekalan untuk kita semua dapat menikmati Ramadhan yang mulia ini sekali lagi.

Untuk itu kita perlulah memohon kepada ALLAH SWT dengan selalu berdoa agar niat dan harapan untuk mengecapi nikmat Ramadhan akan dimakbulkan. Sesungguhnya ALLAH SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang amat menyukai hambanya yang selalu berdoa.

Marilah bersama-sama kita berdoa :

Hasil carian imej untuk Doa

الّلهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبَ وَ شَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

“Allaahumma baariklanaa fii Rajaba wa Sya’baana wa ballighna Ramadhana.”

Maksudnya: “Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rajab dan Sya’ban ini, dan sampaikanlah umur kami bertemu Ramadhan.”

Berdoalah setiap kali selepas solat. InsyaAllah... Semoga kita semua dipanjangkan usia, beroleh kesihatan yang baik, dikurniakan rahmat dan keberkatan di sepanjang bulan Rejab, Syaban dan seterusnya dapat bertemu untuk menikmati bulan Ramadhan yang mulia serta penuh barakah. Amiin...

Hasil carian imej untuk Doa di bulan Rejab

Ada yang mengatakan hadis mengenai unjuran doa ini merupakan satu hadis yang lemah atau dhoif

Oleh itu, salah dan berdosakah menggunakan doa ini? Bagi siapa yang meminta kepada ALLAH agar diberkahi pada bulan Rajab dan Sya'ban agar dipanjangkan usia untuk sampai kepada Ramadhan yakni bukan sebagai ubudiyah khashshah di bulan Rajab ini maka ianya tidak mengapa kerana berdoa dengan doa memohon dimakbulkan adalah bersifat umum, sama seperti berdoa untuk apa sahaja yang anda hajati.

Maka larangan terhadap amalan hadis di atas adalah apabila mengkhususkannya di bulan Rejab kerana meyakininya adalah amalan istimewa di bulan ini disamping sesiapa yang mengamalkannya bererti ia telah beribadah kepada Allah dengan ibadah khusus di dalamnya dan mendapat kemuliaan serta pahala besar dengan membacanya di bulan ini yang mana tidak terdapat pada bulan-bulan selainnya. Wallahu A'lam.

“Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”


Nota : tak salah mengamalkan doa tersebut walaupun dhoif sebab ianya doa yg baik. tak kan berdoa pun dapat dosa kan... tapi jangan menyandarkannya dan meng-ithbat-kannya sebagai sabda Nabi.


Rujukan dari sumber :  relaksminda.com

Sunday, March 5, 2017

reUnion SMV Setapak Kuala Lumpur

TERIMA KASIH atas kenangan dan semoga silatturrahim dapat berkekalan.

Group reUnion
Setelah hampir 40 tahun menggamit memori, akhirnya bertemu juga sahabat2 lama semasa menjadi pelajar di Sekolah Menengah Vokasional Setapak, Kuala Lumpur...

Pengerusi menyampaikan ucapan aluan
Majlis reUnion Ex-SMV telah diadakan di Hotel UITM Shah Alam pada 4 Mac 2017 dengan suasana yang amat ceria dan happening...tema warna 'biru'...

Admin menyampaikan cenderahati
Inilah julung2 kalinya reunion selepas form 5 bekas pelajar Sekolah Vokasional Setapak, Kuala Lumpur diadakan...In Sha Allah akan berkumpul lagi kami selepas ini...sahabat2 lama ku, aku sangat seronok dapat berjumpa korang semua...jangan lost contact lagi...

sebahagian rakan-rakan
Sebenarnya apa yg menarik aku nak share mengenai sahabat2 semasa persekolahan... rasanya dahulu kami tak ada lagi zaman gadget, so masa penuh dengan aktiviti...cuba bayangkan zaman dulu... mana lah ada handphone... mana ada whatsApp… mana ada facebook nih... nak buat perjumpaan reunion...macamana nak cari? ... susah tu... especially dgn whatsApp, facebook ni...memang cepat kami dapat kumpul sahabat2. Kemudian kita wujudkan kumpulan WhatsApp yang memudahkan lagi untuk kami berhubung sekaligus merealisasikan program reUnion ini.


Kalau ikutkan sahabat2 yang lain pun tak kurang hebatnya... ada yang kerja kerajaan, swasta, bank, ada bisnes sendiri, jadi cikgu, ada yang dah title datin pun ada… malah ada yang jadi surirumah tangga (yang ni respek sangat2)...tapi... kami berjumpa seperti kami yang dahulu... tak der pun rasa rendah diri...


Betullah... mintak2 kenangan itu sangat2 priceless... to be honest... memori aku ni macam terpadam sikit... sangat2 selektif… hanya benda2 tertentu yang aku ingat.  Mungkin sebab kurang bercerita...


Sebenarnye ada beberapa sahabat lagi yang tak dapat hadir...yang sedihnya 2 orang rakan2 kami ada yang sudah meninggal dunia...al fatihah diucapkan…

Semoga semua sahabat-sahabat ku diberi kesihatan yang baik supaya dapat kita terus beribadah kepada ALLAH SWT disamping sisa-sisa hidup ini.


Terima kasih Ya Allah.
Terima kasih Sahabat 'MU'
Kalian begitu Istimewa!

Semoga Allah redha...

Thursday, March 2, 2017

saja nak kongsi cerita lama - teringat arwah mak

Sedikit saya nak kongsi tentang pemergian emak saya ini, semoga jadi motivasi kita bersama. Nabi SAW berkata; orang yang paling bijak adalah orang yang selalu mengingati kematian.

Petang itu sebelum waktu asar tiba-tiba emak telah membersihkan diri, seperti tak sabar-sabar nak solat asar.  Emak tinggal bersama kakak saya di kampung. Katanya emak macam 'totally mind lost', pandangannya seperti macam melihat sesuatu, sebab ustaz saya pernah berkata orang yang hendak meninggal akan ditunjukkan sepintas lalu catatan amalannya. Wallahuallam.

Seperti biasa bila masuk waktu solat maghrib, emak solat bersama dengan kakak saya dan kakak saya ada menjaga seorang anak saudara perempuan berumur 3 tahun.  Selepas solat emak telah jatuh dan seperti telah nazak dan terus pengsan. Kakak saya telah memanggil abang saya yang kebetulan baru balik dari surau berdekatan.  Abang saya tak tahu, ingatkan emak telah pengsan, sebab sebelum ini sudah dua kali pengsan dan akan sedar semula.  Lalu abang saya letakkan emak dibawah kipas siling tapi badan masih berpeluh dan mata pejam, apabila tidak sedar-sedar abang terus hantar ke Hospital Tg. Karang.

Di hospital doktor telah memberi bantuan pernafasan dan memberikan CPR, dia tak respon apa-apa pun dengan mata terpejam rapat...doktor tidak dapat berbuat apa-apa tak boleh diselamatkan...tapi apakan daya ALLAH lebih menyayanginya, doktor kata emak telah menghembuskan nafas.  Saya mendapat khabar pada jam 7.40 malam dari adek saya yang kebetulan bersama-sama dengan abang di hospital.  Kematian emak sangat mudah. Saya yakin emak dalam golongan yang beruntung. 

Saya telah kehilangan emak dan bapak, saya percaya ramai antara rakan-rakan pun sama, kita pun akan menyusul jua, jadi tak usah terlalu sedih tapi persiapkan diri untuk menghadapi hari berkenaan yang kita tak tahu bila dan sebab apa, itu lebih bermakna daripada bersedih kehilangan insan tersayang macam seolah-olah diri tu tidak akan mati...dan kalau betul sayang, hadiahkan bacaan Al-Quran...

Kepada rakan-rakan yang masih ada ibu ayah, kesempatan anda untuk berbakti serta mencari pahala banyak-banyak masih terbuka. Gunakan kesempatan ini untuk berbuat yang terbaik. Puaskan diri anda untuk buat yang terbaik sepenuhnya. Jangan nanti bila dah tak ada, barulah menyesal.

Pada saya, saya puas hati dengan apa yang telah saya lakukan untuk ALLAHyarhamah emak saya, sepanjang hayat beliau, apa saja kehendaknya saya turuti, kesemuanya, tak ada yang kurang. Setiap 2 minggu saya akan balek kampung menjenguk emak, tambahan lagi saya sendiri bersama kakak dan kakak ipar saya serta dua orang anak saudara (anak kakak saya) dapat memandikan jenazahnya secara bersendiri, menguruskannnya dari awal hingga akhir.

Rasanya tiada kesedihan yang teramat apabila kita tahu kita telah berbakti sebaik-baiknya, bukankah begitu?

Sedikit tentang amalan emak saya yang mungkin boleh kita contohi bersama, iaitu pertama beliau sentiasa puasa sunat Isnin dan Khamis, qiamulail malam, dan amat menjaga pertuturan, menjaga aurat meskipun beliau di rumah bersendiri, beliau tetap memakai tudung atau setidak-tidaknya serkup kepala, apabila keluar beliau pakai stoking meskipun beliau seorang tua. Moga-moga antara kebiasaan itu menjadi ikhtibar dan ikutan kita semua.      

Berbanyak terima kasih kepada semua yang sudi menyedekahkan Al-fatihah...

Wednesday, February 1, 2017

Assalamualaikum...dan Selamat pagi semua...

Hari ini kebetulan cuti am 1 februari iaitu hari Wilayah Persekutuan.  Sebagaimana biasa en suami bekerja dikuala lumpur, maklumlah beliau ulang alik kuala selangor ke kuala lumpur setiap hari.

Maka saya terpaksalah turutkan kehendak beliau untuk pergi ke pasar beli daging kambing sebanyak 2 kilo yang telah siap dipotong-potong.
Dah lama juga tak masak kari kambing ni...buat kari kambing bukannya susah pun, bahan pun agak-agak ikut banyak mana kambing tu.











KARI KAMBING ISTIMEWA

Bahan-bahan :
2 kg daging kambing (yang telah dipotong-potong)
1 helai daun kari
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Krisik secukup rasa
Asam Jawa/Asam keping secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis

Rempah Pes:
7 ulas bawang merah (hiris halus)
4  ulas bawang putih (hiris halus)
3 cm halia (hiris halus)

Rempah Ratus:
3 kuntum bunga cengkih
2 cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang

Rempah Serbuk:
5 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk kunyit

Cara-Cara:
Panaskan minyak sapi di dlm periuk atau kuali yang dalam.
Masukkan daun kari, rempah ratus dan pes rempah.
Tumis atas api kecil selama 10 minit atau sehingga harum.
Bancuhkan rempah serbuk dengan sedikit air sehingga menjadi pes.
Campurkan dalam rempah yang sedang ditumis bersama-sama daging kambing.
Kacau selalu selama kira-kira 15 minit atau sehingga daging disaluti dengan bahan rempah dan perisa meresap ke dalam daging.
Tambahkan air secukupnya untuk meliputi bahan-bahan
Renihkan, kacau selalu selama 1 jam atau sehingga daging empuk.
Perasakan secukupnya dengan gula dan garam.
Angkat dari api dan hidangkan bersama nasi atau roti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...